Kejayaan sebagai seorang penyanyi Azlina_Aziz

Perjalanan seni beliau sebagai seorang penyanyi tetap berjalan dengan jayanya. Selama lebih kurang 10 tahun bernaung di bawah label WEA Records, beliau berjaya merakamkan 9 album penuh (termasuk dua album studio oleh Ahmad Fauzee yang menampilkan nyanyian mereka bersama). Selain itu, beliau pernah merakamkan beberapa lagu bersama dengan artis yang lain.

Sehingga kini, beliau tidak merakamkan album baru tetapi masih lagi aktif menyanyi untuk acara-acara tertentu. Kadangkala, beliau akan muncul di kaca televisyen atau pentas-pentas persembahan jika ada acara yang memerlukan khidmat beliau. Terdapat juga berita yang mengatakan beliau akan kembali untuk merakamkan lagu. Sepanjang kariernya sebagai seorang penyanyi, beliau telah mewarnai industri muzik tanah air dengan bakat nyanyian yang dimiliki olehnya. Beliau juga dianggap sebagai seorang penyanyi yang serba boleh kerana kemampuannya untuk membawakan apa sahaja jenis lagu dengan baik sekali.

Kebolehan yang dimiliki beliau pernah mendapat pujian Saloma dan Rafeah Buang ketika hayat mereka. Sesungguhnya, beliau adalah antara segelintir penyanyi yang benar-benar mempunyai kualiti yang perlu dipertahankan sebagai penyanyi sepanjang zaman. Pihak yang tertentu juga perlu memainkan peranan untuk mengangkat beliau sebagai pelapis penyanyi tanah air yang menjadi kebanggaan selepas Sharifah Aini. Di dekad 80an, nama Azlina sememang berada sebaris dengan penyanyi-penyanyi hebat serantau yang mempunyai vokal ampuh seperti rakan senegara Francissca Peter, Zaiton Sameon, Khatijah Ibrahim, Dayangku Intan, Sheila Majid dan Ramlah Ram, Rahimah Rahim dan Anita Sarawak (Singapura) serta Hetty Koes Endang, Titi DJ, Vina Panduwinata dan Ruth Sahanaya (Indonesia). Beliau pernah tercalon di dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1987 untuk kategori Penyanyi Wanita Popular.